Ahad, 15 November 2009

MELAHIRKAN GENERASI LEBIH BERILMU

ARKIB : 12/11/2009

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN



KATA orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh yang keras, tentu sukar membentuknya. Menyedari hal ini, syarikat penerbit dan pengedar buku kanak-kanak terbesar dunia, Scholastic Inc.

melalui anak syarikatnya di Malaysia, Scholastic Malaysia menganjurkan Kempen 'Read2009:Satu Negara Membaca Bersama' (Read2009) pada 5 Oktober lalu.

Ia bagi meningkatkan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal usia sekolah rendah.

Pada hari itu, seramai 160,144 pelajar daripada 221 sekolah rendah seluruh negara membaca bersama secara riadah di negeri masing-masing dalam tempoh 2009 saat atau bersamaan lebih kurang 33 minit.

Objektif utamanya hanya satu iaitu menanam minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah supaya mereka menjadikan buku sebagai teman rapat dan meneruskan hobi itu pada waktu terluang termasuk ketika cuti persekolahan.

Walaupun tanpa sebarang tawaran hadiah, sambutannya menggalakkan ekoran kesedaran pelajar dan sekolah untuk menyertai.

Scholastic Malaysia juga turut membantu menyediakan 44,200 buku cerita baru kepada 200 sekolah kurang berkemampuan yang mengambil bahagian pada kempen ini bagi memudahkan lebih ramai pelajarnya menyertai.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Scholastic Asia, Maggie Tan berkata, walaupun istilah kempen ini, Read2009 ringkas, ia membawa mesej yang mendalam.

Katanya, Read2009 adalah komponen utama dalam usaha sosial berterusan yang dijalankan syarikat itu bagi memupuk minat membaca secara sihat dan memberi faedah baik kepada pelajar.

Beliau berkata, pada kempen kali kedua itu, syarikatnya cuba menekankan kepada konsep membaca secara riadah supaya pelajar memperoleh perasaan seronok melakukannya.

Menurut Maggie, jika dipaksa membaca, ia akan menjadi beban dan semakin mengurangkan minat pelajar terhadap hobi bermanfaat itu.

"Dengan konsep kami, jumlah peserta bertambah lebih tiga kali ganda pada kempen kali ini berbanding penganjurannya tahun lalu, jadi kami akan terus cuba meningkatkan penyertaan 10 peratus pada tahun seterusnya.

"Ketika dianjurkan tahun lalu, 29,036 pelajar dari 221 buah sekolah rendah seluruh negara mengambil bahagian," katanya ketika berucap pada Penganjuran Kempen 'Read2009:Satu Negara Membaca Bersama' di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir pada acara itu adalah Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Abdullah Mad Yunus serta beberapa selebriti tempatan. Antaranya Vanidah Imran, Low Ngai Yuen, Deborah Henry, Ruth Liew dan Amanda Imani.

Maggie berkata, kajian yang dijalankan Scholastic Malaysia mendapati, kekerapan pelajar SK di negara ini membaca buku pada tahun lalu adalah 15 buku manakala bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), lapan buku.

Sementara itu, salah seorang peserta, Raisa Pathrose Pereira, 12, berkata, kempen berkenaan amat baik untuk memupuk golongan muda agar minat membaca.

"Pastinya kempen ini akan terus meningkatkan minat saya terhadap hobi membaca dan mendekatkan saya dengan pelbagai jenis buku terutama yang saya minati iaitu fiksyen.

"Saya yakin, kempen ini akan melahirkan generasi lebih berilmu pada masa depan," katanya.

Peserta lain, Ariff Azlan Alymann, 12, berkata, setiap bulan dia akan membaca lebih 20 buku pelbagai jenis termasuk berkaitan haiwan, fiksyen dan geografi.

"Sememangnya saya bersemangat menyertai kempen ini dan amat berbangga menjadi salah seorang pesertanya.

"Lebih menggembirakan apabila dapat menjadi peserta bagi acara besar seperti ini disertai pelajar seluruh Malaysia daripada pelbagai kaum berbeza," katanya yang bercita-cita menjadi ahli muzik atau ahli arkeologi.

Seorang lagi peserta, Safia Esham, 12, berpendapat, membaca menjadikan seseorang itu berpengetahuan luas terutama jika membabitkan bacaan isu semasa atau dunia.

"Saya memang gemar membaca sejak di tadika dan ibu bapa saya sendiri sentiasa menggalakkan saya membaca pelbagai jenis buku.

"Dengan membaca, saya akan menjumpai perkataan baru yang menambahkan lagi pengetahuan diri," katanya.

(sbr: MM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan