Sabtu, 7 November 2009

BUKU TIDAK AKAN ADA LAGI DI DUNIA

Oleh Zin Mahmud (Sumber dr Mingguan Malaysia 8 Nov. 2009)
SEPERTI orang kebanyakan, rumah penulis sempit dan sudah tidak mampu lagi menampung timbunan buku yang semakin bertambah hasil perolehan sepanjang hayat. Walaupun telah disingkirkan buku-buku yang tidak dicintai lagi, tetapi buku-buku yang disayangi masih banyak dan terus bertambah.
Atas tekanan domestik serta komitmen menjaga keharmonian berkongsi rumah, tidak ada jalan lain bagi penulis selain daripada mencari tempat lain untuk menempatkan buku-buku kesayangan itu.
Dalam hal ini, penulis merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang bermurah hati menyediakan tempat untuk buku-buku penulis itu.
Namun begitu, penulis percaya masalah ruang yang dihadapi oleh penulis untuk menempatkan buku-buku hanya ditanggung oleh generasi kini dan terdahulu. Ini kerana pada masa akan datang buku tidak akan ada lagi. Buku-buku yang ada pada hari ini akan menjadi peninggalan sejarah. Macam koleksi antik kerana pada masa akan datang buku tidak akan diterbitkan lagi.
Seperti mana penulis yang dewasa dengan mesin taip dan terpaksa meninggalkannya untuk menerima komputer, maka generasi sekarang akan meninggalkan buku untuk menerima pakai e-buku. Buat masa ini e-buku seperti jenama Kindle (Amazon), Sony dan Nook (Barnes & Noble) belum sampai ke Malaysia. Tetapi akhirnya ia akan sampai juga ke Malaysia dan akan mengubah cara rakyat negara ini membaca.
Sesungguhnya penulis percaya tiga ciptaan terbesar yang telah mengubah manusia pada akhir kurun ke-20 dan awal kurun ke-21 ini. Ia adalah pertama, komputer, daripada bentuk kerangka utama (mainframe), komputer peribadi (pc) hinggalah menjadi komputer riba (laptop). Kedua, internet, termasuklah jalur lebar dan laman-laman web yang mengubah hidup manusia seperti Yahoo, Google, YouTube, MySpace, Facebook dan seumpamanya. Ketiga ialah e-buku, atau disebut sebagai e-reader. Alat ini belum sampai ke Malaysia. Ia juga belumlah sempurna betul.
Tetapi di Amerika Syarikat dan Eropah, ia sudah mula popular di mana pada musim cuti lalu, mereka yang bercuti di pantai sudah banyak yang menggunakannya. Masakan tidak, mereka tidak perlu membawa beg berat yang penuh buku. Cukup dengan Kindle, mereka dapat menyimpan beratus-ratus tajuk buku. Kehadirannya meringankan beban beg dalam kapal terbang. Buku yang berat tidak perlu diangkut ke merata-rata tempat. Cukup dengan alat Kindle itu, seseorang dapat menyimpan isi buku yang banyak.
Mahal
Pada masa akan datang, teknologi akan lebih berkembang dan lebih banyak dapat dimuat turun ke dalam alat-alat e-buku itu. Teknologi ini akan mengubah cara industri penerbitan. Tidak perlu lagi pokok-pokok dikorbankan dan pencemaran akibat kilang memprosesnya dapat dielakkan. Mesin cetak yang mahal juga tidak lagi diperlukan untuk menerbitkan buku. begitu juga dengan majalah dan akhbar.
Tetapi lebih penting lagi ialah kelajuan sesuatu idea yang terkandung dalam buku untuk tersebar melalui alat ini. Tidak perlu seseorang menunggu berbulan-bulan untuk dapat menatap buku-buku baru.
Ia belum lagi dikira bagaimana pengalaman membaca buku melalui alat itu dapat diperkayakan dalam bentuk multimedia. Sememangnya bagi generasi penulis, akan terasa kehilangan dengan tiadanya buku. Pengalaman memegang kertas, aroma buku yang harum akan hanya tinggal dalam kenangan.
Tetapi bagi generasi akan datang, alat e-buku ini akan menjadi biasa seperti mana telefon selular, i-pod, MP3 dan seumpamanya. Namun kelajuan otak manusia tidaklah dapat mengejar kepesatan perkembangan teknologi ini. Seperti juga buku yang banyak diterbitkan hari ini. Untuk cepat membaca dan memperoleh maklumat dan idea melalui buku-buku cetakan yang ada juga tidak termampu, apatah lagi jika banyak buku boleh diperolehi melalui alat e-buku itu.
Dalam hal ini, otak manusia akan meningkatkan kemampuan untuk memilih tajuk atau bidang yang diminati. Pilihan akan menjadi lebih banyak dan kelebihan seseorang akan terletak kepada kemahiran dan kepesatan ia memilih sesuatu tajuk.
Dengan adanya banyak pilihan, bermakna bahan bacaan yang menarik akan lebih mudah diperoleh dan ia menggalakkan banyak manusia untuk mendapatkan maklumat yang diminati. Selama ini, antara masalah terhalangnya kemajuan di negara-negara bukan maju ialah sukarnya mereka mendapat bahan yang diminati.
Hanya di Amerika dan negara-negara barat seseorang itu memperoleh akses kepada banyak idea, maklumat dan buku untuk meningkatkan keupayaan mencipta dan berkembang. Mungkin perkara inilah antara faktor penting mengapa negara maju terus maju sementara negara membangun tidak dapat mengejar mereka.
Walaupun kini dengan adanya Internet dan kemudahan ICT, pertukaran maklumat lebih laju, pesat dan berkembang tetapi peredaran buku masih terhad. Ini kerana bukan saja kos buku itu tinggi tetapi sebagai kertas yang dijilidkan, buku adalah barang yang berat dan perlu ruang yang banyak untuk menampungnya.
Bayangkan berapa banyak kos dan kepayahan untuk membawa buku dari Amerika ke Malaysia. Sudahlah kargo kapal terbang terhad kerana ia perlu membawa sesuatu bebanan dari darat ke udara bagi perjalanan jauh, buku juga mengisi ruang yang banyak.
Apabila ia sampai ke destinasinya pula, buku memerlukan ruang yang besar. perpustakaan sudah tidak mampu menampung banyak buku yang diterbitkan. Sedangkan ruang dan bangunan memerlukan kos tinggi hingga akhirnya orang ramai serta kerajaan yang membiayai pembinaan perpustakaan sukar untuk memenuhi keperluan ruang oleh buku.
Perkara ini semua akan dapat diatasi melalui teknologi-buku. Sesungguhnya ia merupakan revolusi baru kepada pemikiran manusia sehebat ciptaan kertas, dan mesin cetak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan